MiDAS Commentaries

 

MEMPERKASAKAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM) KE ARAH MENJADI SEBUAH ANGKATAN YANG VERSATIL DI ABAD KE-21

Disediakan Oleh: Pengarah Penyelidikan Polisi, CDSRC

Sumber: Perintah Ulong Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-20 pada 06 Julai 2018.

 

            Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan tunggak utama kepada kerajaan Malaysia dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara dapat terus dilindungi dan dipelihara pada sebilang masa. Ini adalah sejajar dengan wawasan ATM untuk menjadikan ATM sebagai sebuah angkatan tentera yang versatil di abad ke-21. Versetil bermaksud satu ketumbukan bersenjata yang fleksibel, tangkas, responsif dan dapat disesuaikan kepada peperangan yang sentiasa berubah-ubah.

 

            Keadaan keselamatan dunia masa kini adalah tidak menentu. Senario ini menyebabkan ATM perlu sentiasa siaga pada sebilang masa untuk menghadapi sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan, keutuhan dan kepentingan negara. Sehubungan itu, ATM perlu memberi keutamaan terhadap usaha-usaha untuk mempertingkatkan tahap keupayaan dan kesiapsiagaan, seiring dengan perubahan semasa landskap geo-politik dan strategik antarabangsa. Sebagai perisai pertahanan negara, pengukuhan pertahanan ATM mesti dilakukan secara ‘spektrum penuh’ atau full spectrum bagi mendapatkan impak perlindungan yang berkesan dalam menghadapi kesan dari kemunculan ancaman-ancaman bentuk baru yang bakal mendatang dalam pelbagai bentuk dimensi, masa kini dan masa hadapan.

 

            Masa kini, walaupun rantau Asia Tenggara khususnya Malaysia kelihatan aman dan bebas dari sebarang bentuk ancaman tradisional, namun beberapa isu dalaman serta luaran dilihat mampu mencetuskan konflik baharu pada bila-bila masa. Dalam masa yang sama, peningkatan aktiviti-aktiviti ancaman bukan tradisional yang berbentuk militan di sekitar Perairan Malaysia-Filipina dan Indonesia juga perlu diberi perhatian khusus oleh ATM. Ini kerana, pihak tersebut kerap melakukan tindakan-tindakan yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan negara Malaysia seperti melakukan aktiviti-aktiviti keganasan, lintas sempadan, penyeludupan, pemerdagangan manusia, aktiviti sosial yang boleh menggugat ketenteraman awam termasuk kesan yang wujud semasa pasca bencana alam. Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan baik, ancaman-ancaman sebegini boleh menggugat kestabilan keselamatan negara dan mendedahkan negara kepada campur tangan pihak luar untuk jangka panjang.

 

            Perkembangan semasa landskap geo-politik dan strategik antarabangsa masa kini yang tidak menentu serta sentiasa berubah-ubah, ada kalanya telah mewujudkan fenomena “peningkatan ketegangan” atau escalation of tension khususnya di rantau sebelah Timur dan Timur Tengah. Keadaan lanskap yang kompleks di mana kebanyakannya tidak menyebelahi Malaysia telah memberi justifikasi yang kukuh kepada ATM untuk meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan serta keupayaan bagi menangani sebarang kemungkinan agar berupaya memberikan renspons yang pantas, tepat dan efektif setelah opsyen diplomasi pertahanan yang proaktif menemui kegagalan.

 

            Dalam mencapai hasrat ATM untuk menjadi sebuah angkatan tentera yang kredibel, responsif, dinamik dan mampu mengeksploitasi teknologi; ATM juga perlu siaga untuk membantu agensi-agensi keselamatan lain dan Pihak Berkuasa Awam dalam memelihara ketenteraman awam serta memberi bantuan semasa berlakunya bencana alam di seluruh negara. Oleh yang demikian, ATM perlu menentukan keseimbangan gabongan keupayaan antara elemen manusia, mesin dan kaedah atau man, machine and method dapat dicapai dengan maksima bagi mendapatkan tindak balas positif yang  holistik, bersepadu, berkesan dan menyeluruh.

 

            Bagi merealisasikan hasrat ATM untuk menjadi sebuah angkatan tentera yang kredibel, responsif, dinamik dan mampu mengeksploitasi teknologi, Empat Tonggak Pemerintahan yang dirangka oleh PAT yang ke-20 adalah bertepatan pada masanya dan haruslah dipuji; seperti berikut:

 

a.         Tonggak Pertama. Angkatan yang Profesional.

b.         Tonggak Kedua. Ketumbukan yang Siap Siaga.

c.         Tonggak Ketiga. Keutuhan Organisasi.

d.         Tonggak Keempat. Memperkasakan Kualiti Hidup.

 

            Tonggak Pertama: Angkatan yang Profesional. Dewasa ini, cabaran dan ancaman dari pelbagai spektrum perlu dihadapi oleh ATM secara pantas, profesional dan efektif. Setiap cabaran yang datang harus ditangani sepenuhnya kerana keyakinan rakyat terhadap organisasi ATM adalah amat tinggi dan rakyat amat menagihkan keamanan yang terjamin secara berterusan. Oleh itu, tonggak ini perlu digemblengkan secara kesepaduan di setiap peringkat pemerintahan untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam setiap amanah tugas yang dipertanggungjawabkan. Justeru, angkatan yang profesional amat memerlukan komitmen semua pihak bermula dari anggota yang berpangkat paling rendah hinggalah pemerintahan tertinggi. Ini penting bagi memperlengkapkan kemampuan diri dan rakan sepasukan dalam ilmu pengetahuan, berfikiran matang dan berkemahiran tinggi agar mampu mengukuhkan keyakinan diri dan pasukan dalam menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran. Dengan sokongan peruntukan kewangan dan penyediaan prasarana terbaik dari pihak kerajaan, ATM sudah pasti akan dapat  mencapai matlamatnya untuk menjadi sebuah angkatan yang profesional.

 

            Tonggak Kedua: Ketumbukan yang Siap Siaga. Pada sebilang masa, ATM perlu bersiap sedia menghadapi sebarang bentuk ancaman demi mempertahankan kedaulatan dan kesejahteraan negara tercinta. Hasrat ini memerlukan setiap komponen dalam angkatan tentera untuk sentiasa mempertingkatkan kesiagaannya bagi menghadapi cabaran dan sentiasa mengekalkan keupayaan sebagai persediaan menghadapi setiap kemungkinan yang akan berlaku secara berterusan. Dalam hal ini, ATM perlu konsisten dalam usaha membangunkan angkatannya berpandukan blueprint 4D MAF atau ‘Fourth Dimension Malaysian Armed Forces’. Pembangunan 4D MAF yang telah dirangka ini adalah didokong oleh rancangan pembangunan yang telah digubal khas oleh setiap perkhidmatan mengikut keperluan semasa dan mendatang. Matlamat utama rancangan pembangunan 4D MAF adalah untuk memperkasakan ATM sebagai sebuah Angkatan Objektif (objective force) yang mampu beroperasi di dalam pelbagai spektrum peperangan. Usaha ini perlu dilaksanakan secara realistik, berperingkat, berkesinambungan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara dan juga keperluan semasa yang lain. Keperluan peralatan, persenjataan dan latihan termoden juga perlu diselaraskan agar peruntukan yang disediakan dapat digunakan secara optimum dengan menutup ruang-ruang pembaziran yang dikenalpasti. Di samping itu, ATM juga perlu berusaha mempertingkatkan semua komponen “force-in-being” iaitu ketumbukan yang sedia ada, agar mampu meningkatkan lagi tahap kesiagaan secara keseluruhannya. Matlamat akhir tonggak ini adalah untuk menjadikan ATM sebagai sebuah organisasi yang unggul serta dapat memberi respons yang terbaik dalam menghadapi pelbagai ancaman persekitaran; baik di daratan, lautan, udara dan juga ruang siber.

 

            Tonggak Ketiga: Keutuhan Organisasi. Keutuhan organisasi adalah amat diperlukan bagi memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan di kalangan warga ATM. Sebagai sebuah organisasi yang eksklusif lagi profesional, ATM perlu sentiasa berusaha mempertingkatkan keupayaan serta kredibilitinya dalam semua aspek bagi membolehkannya melaksanakan semua tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Oleh itu, setiap warga ATM mestilah sentiasa berfikiran positif, dan bersedia untuk berkorban serta mencurah bakti dalam apa jua keadaan demi kelangsungan dan kecemerlangan organisasi. Justeru, semua peringkat Pegawai dan anggota Lain-lain Pangkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM perlu peka serta menghayati budaya “sense of belonging” dan “sense of ownership” terhadap ATM sambil menggembleng serta menyatukan usaha dan tenaga masing-masing pada sebilang masa. Dengan kekuatan individu dan kesatuan ATM, semua cabaran yang bakal mendepani negara akan dapat dihadapi oleh ATM dengan efektif dan efisyen.

 

            Tonggak Keempat: Memperkasakan Kualiti Hidup. Dalam memperkasakan kualiti hidup, ATM perlu meningkatkan lagi kualiti kebajikan setiap anggota dan keluarganya termasuk bagi golongan veteran. Kualiti hidup yang terbaik akan dapat mendorong setiap warga ATM untuk lebih fokus kepada kerjaya ketenteraan. Semua inisiatif yang telah dirancang oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dalam usaha untuk meningkatkan kualiti hidup warga ATM perlu terus dilaksanakan. Inisiatif-inisiatif yang telah diambil sebelum ini untuk membolehkan setiap anggota ATM memiliki sebuah rumah sendiri dan rumah idaman bagi golongan veteran perlu beri keutamaan. Dalam masa yang sama, pembinaan kem-kem tentera serta rumah keluarga yang baru, termasuk memperkasakan kualiti penyelenggaraan terhadap kemudahan serta fasilitas asas perlu menjadi keutamaan dengan penekanan terhadap langkah-langkah penjimatan dalam pengurusan kewangan jangka panjang. Sikap ambil berat dan memelihara kemudahan yang disediakan agar sentiasa terpelihara perlu disemaikan di jiwa setiap warga ATM agar kos penyelenggaraan yang amat tinggi dapat dikurangkan. Keperluan asas yang lebih berkualiti dan kondusif perlu ditingkatkan bagi meningkatkan moral setiap warga ATM khususnya dalam aspek keselesaan hidup keluarga. Di samping  itu, peluang kenaikan pangkat bagi semua peringkat anggota, kemudahan pengajian tinggi seperti ‘k-force’, peningkatan akademik ke tahap tertinggi, perumahan dan perubatan serta emolumen serta faedah persaraan mahupun pemberhentian, perlu dikaji semula demi kepentingan masa depan anggota dan keluarga. Semua inisiatif-inisiatif ini pastinya akan meningkatkan tahap pengurusan masa yang berkualiti selaras dengan falsafah ‘quality time’ atau masa berkualiti, bagi warga ATM dan keluarga mereka. Bagi para veteran serta keluarga mereka, semua kemudahan dan bantuan-bantuan yang disediakan oleh ATM masa kini perlulah disemak semula seperti kemudahan-kemudahan untuk mereka mendapatkan rawatan perubatan percuma, elaun dan biasiswa dari anak pra-sekolah hinggalah ke tahap pengajian tinggi dan sebagainya. Matlamat akhir yang ingin dicapai dalam Tonggak ini adalah untuk menentukan taraf sosio-ekonomi bagi semua warga ATM, golongan veteran dan golongan veteran yang tidak berpencen dapat ditingkatkan.

 

            Justeru, semua warga ATM perlulah bersama-sama menjiwai serta merealisasikan Empat Tonggak ini dengan sikap profesional demi untuk memastikan matlamat ATM untuk membangunkan keupayaan, memperkasakan imej dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ATM dapat dicapai sepenuhnya.

           

Sebagai rumusan, ATM perlu sentiasa mengutamakan tahap profesionalisme dan amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya bagi memastikan keselamatan dan pertahanan negara ini sentiasa berada di tahap  tertinggi. Empat Tonggak yang telah dirangka oleh PAT yang ke-20, perlu diteruskan oleh PAT yang seterusnya sejajar dengan hasrat Kertas Putih Pertahanan (KPP) Pertama Malaysia yang bakal dikeluarkan. Berasaskan kepada Empat Tonggak ini, sekiranya semua peringkat pemimpin dan anggota ATM dapat menjiwai dan melaksanakannya dengan sikap yang terbuka dan ikhlas serta profesional, matlamat ATM untuk menempa kejayaan yang berterusan dan sentiasa kekal relevan di kaca mata rakyat Malaysia boleh dicapai dalam masa yang singkat. Justeru, semua warga ATM perlulah sentiasa mengingati sumpah ikrar dan janji sumpah taat setia yang telah dilafazkan kepada perkhidmatan di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

           

“Sentiasa Bersepadu”