24 Mac 2022 – Malaysia Insttitute For Defence and Security (MiDAS) melakar sejarah apabila hasil penyelidikan yang dilaksanakan terpilih bagi pembentangan di Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Anti Rasuah peringkat kebangsaan yang diadakan di Movenpick Convention Centre Klia Sepang.

Lebih membanggakan MiDAS merupakan satu-satunya institusi bukan dari kalangan ipt yang diberi kepercayaan menghasilkan kajian dan terpilih ke persidangan ini. Tajuk penyelidikan adalah tadbir urus dan pengurusan risiko rasuah di kementerian pertahanan.


Pembentangan dibuat oleh Lt Kol Dr Maimunah Omar selaku ketua tim penyelidik. Ahli-ahli tim yang turut serta adalah Kol Dr Nizlan, Kdr Ts Dr Muhammad Azwandi TLDM, Lt Kol Mohd Izal TUDM serta Encik Ahmad Tajuddin (MiDAS).Selain mengenal pasti elemen-elemen risiko rasuah, hasil kajian turut memberikan syor penambahbaikan yang merangkumi peringkat strategik, operasi dan pelaksanaan yang merentasi jangka masa panjang, pertengahan dan juga jangka masa pendek.

Tim turut berkongsi tindakan-tindakan proaktif yang telah dilaksanakan oleh kementerian dan ATM dalam menangani isu pengurusan rasuah dan ketirisan urus tadbir seperti penghasilan pelan anti rasuah kementerian 2020-2024, serta pelan anti rasuah dari ATM dan perkhidmatan-perkhidmatan.

Kajian ini merupakan hasil kerjasama di antara GIACC dan MiDAS dan membuktikan ketelusan dan kesungguhan kementerian dalam menangani isu-isu berkaitan rasuah di sektor pertahanan. Selain daripada itu, hasil kajian ini menyokong Kertas Putih Pertahanan Negara (bab 8) iaitu Reformasi Tadbir Urus dan Pembiayaan. Penyelidikan ini juga akan menjadi satu penambah nilai bagi pengukuran kajian Indeks Rasuah Negara (CPI) dan Transparency International (TI) pada masa akan datang.


Syabas dan tahniah diucapkan kepada MiDAS.

© 2019 MiDAS, All Rights Reserved